Scent Of A Woman .
Monday, December 19, 2011, ϟ 0 shout(s)

Drama Korea baru yang jadi tontonan sekarang . Ni die punye sinopsis .Saya  copy
dari SINI .



BAYANGKAN, tatkala berdepan dengan kemelut hidup yang tinggal di hujung tanduk dan menanti maut, orang itu dipertemukan dengan seorang insan yang berjanji benar-benar menyayanginya.
Mengetahui rasa cinta dan segala sayang yang berputik itu tidak mungkin berpanjangan, sedikit sebanyak ia mengusik jiwa untuk menyembunyikan perasaan kecewa yang teramat besar.
Itulah ketentuan, takdir dan suratan hidup yang sudah lama tertera. Tiada siapa yang mampu menduga apa akan berlaku esok dan siapa pula yang akan membahagiakan kita.

Dengar coretan sinopsis ringkas ini saja sudah mampu mengusik emosi kita, apatah lagi visualnya menterjemahkan segala-galanya. Itulah drama Korea yang bersulam 1,001pengertian tersendiri yang ketika ini menjadi pilihan utama kebanyakan ‘kaki drama’ tempatan.



Drama 16 episod yang mencetuskan fenomena di Korea, baru-baru ini, Scent of A Woman kini ‘diterbangkan’ ke Malaysia menerusi saluran 393, ONE HD Astro Beyond, setiap Rabu dan Khamis, jam 9.05 malam.



Pertama kali menyatukan dua pelakon terkenalnya, Kim Sun-A dan Lee Dong-Wook, Scent of A Woman sememangnya sebuah drama yang dinanti-nantikan kerana plot ceritanya yang menyentuh perasaan dengan barisan pelakon terkenal yang kini menjadi inspirasi kepada ramai remaja.

Jelas teraju utamanya, Lee Dong-Wook, melakonkan watak Kang Ji-Wook yang ditemui pada sesi temu bual eksklusif, petang Rabu lalu di Kuala Lumpur menyifatkan apa yang diterima mereka dengan segala macam sambutan positif daripada peminat seluruh Asia adalah sesuatu yang cukup mengejutkan.

“Saya memang terkejut dan tidak mampu berkata-kata sebaik melangkah tiba di lapangan terbang di Kuala Lumpur dan Singapura kerana begitu ramai sekali peminat yang sudah menanti menjerit-jerit memanggil nama saya. Hinggakan saya bertanya kepada pembantu peribadi di sebelah, adakah ini realiti yang semua orang sudah mengenali saya sedangkan tidak sekali-kali saya terfikir soal menjadi popular merentasi negara luar selain Korea.

“Senario ini benar-benar memberikan saya semangat untuk terus mempromosikan drama siri ini dan saya bersyukur kerana bakat saya sudah mula diperkenalkan di negara lain pula,” katanya tersenyum.

Rangka promosi jelajah drama Scent of A Woman turut tiba di Singapura sehari sebelumnya dengan mengheret dua nama besar ini bagi menghangatkan lagi kedatangan drama siri yang mencecah jutaan penonton itu.

Fenomena drama dan industri muzik Korea bukan baru sehari melanda gelanggang seni tempatan, sebaliknya sejak sekian lama, naskhah dari negara itu sudah mula menyelinap masuk menyebarkan pengaruhnya hingga mampu mengikat perhatian penonton kita untuk duduk terperuk menanti hingga ke akhir plot cerita.

Hakikatnya, karya sentuhan Korea memang punya nilai istimewa tersendiri. Bukan sekadar bersandar pada barisan pelakonnya yang kuat pada dinamik lakonan, sebaliknya garapan penceritaannya mampu memancing selera tempatan.

Jika diukur dengan karya kita, tiada apa yang berbeza atau hebatnya mereka, cuma sentuhan produksi Korea jauh lebih teliti dan sarat dengan suntikan ‘emosi’ yang sememangnya membuai perasaan penonton. Lihat saja kebanyakan anak muda hari ini, meskipun tidak faham bahasa yang diguna atau dialog yang diterapkan, namun masing-masing begitu leka menontonnya.

Heroinnya yang begitu bijak menyusun kata dan tidak lekang mengukir senyuman, Kim Sun-A pula mencelah, keistimewaan dan kelainan dalam setiap drama sentuhan Korea adalah pada pembangunan watak dan susunan plot ceritanya yang mampu mengikat penonton.

Selain mengakui punya keserasian yang baik dengan Lee Dong-Wook, aktres jelita yang melakonkan watak Lee Yeon-Jae ini turut mengakui kisah yang diangkat dalam drama siri ini adalah cerita sebenar yang membuatkan penonton sendiri khayal untuk terus mengikuti �perjalanannya.

“Scent of A Woman adalah sebuah biografi perjalanan hidup saya yang penuh dugaan dan halangan. Kononnya Yeon-Jae sering kali menjadi mangsa buli dan fitnah hanya kerana dirinya yang tidak suka membantah. Kemudian tanpa disangka, dia menghidap kanser dan hanya boleh hidup enam bulan saja.

“Ketika itu juga dirinya dipertemukan dengan seorang lelaki yang punya profil tinggi, kacak dan kaya, Ji-Wook. Pertemuan itu menjadi titik permulaan kepada segala macam kisah dan episod cinta dalam diari hidup Yeon-Jae. Namun pada masa sama, dirinya berdepan dengan ajal yang kian hampir dan perasaan sayang yang tidak mampu digambarkan.

“Yeon-Jae begitu kuat emosinya dan tidak mudah menterjemahkan perasaannya setiap kali berdepan dengan masalah dan kisah cintanya. Saya sendiri perlu mendalami setiap babak yang ingin dilakukan pengarah agar ‘jiwa’ itu sentiasa ada dan tidak tampak janggal di depan kamera.

“Meskipun sudah lama dalam bidang lakonan, saya akui Scent of A Woman meninggalkan impak tersendiri dalam diri saya sebagai pelakon. Skripnya kuat dan garapannya juga begitu teliti hingga ada kalanya saya menjadi begitu tertekan untuk menghidupkan cerita,” katanya.

Tambah Dong-Wook yang menjadikan ramai pelakon hebat di pentas seni lakon �sebagai inspirasi selain mengharapkan agar ada tawaran watak superhero buatnya satu hari nanti, Scent of A Woman jelas memberikannya kepuasan maksimum selepas lebih dua tahun berehat dari dunia lakonan kerana terbabit dalam Program Khidmat Negara.

“Ini adalah percubaan pertama selepas dua tahun fokus pada khidmat negara. Saya sendiri memang puas dan tertarik sejak awal membaca skripnya. Ia jelas membuai emosi dan perasaan penonton dengan watak yang kuat dan pelbagai warna. Saya gembira apabila diberi tanggungjawab melakonkan watak utama ini kerana ia sudah pasti mampu membawa saya ke fasa lebih jauh.

“Watak Ji-Wook adalah �permainan karakter yang begitu teliti dan kuat kerana saya perlu berdepan dengan perasaan cinta dan mengharungi pelbagai halangan dalam merealisasikan impian untuk mencintai gadis pilihan hati. Mana tidaknya, Ji-Wook terikat dengan permintaan keluarga yang ingin mengahwinkannya dengan wanita lain atas dasar perjanjian dan taraf sedangkan jauh di dalam hatinya mencintai wanita yang kuat semangat.

“Mujur keserasian antara saya dan Kim Sun-A khususnya begitu baik dan lancar membuatkan saya lebih yakin dan percaya dengan bakat sendiri. Jujurnya saya sedikit gementar pada awalnya kerana sudah dua tahun tidak berlakon kerana terikat dengan khidmat negara dan kemudian berlakon dalam sebuah drama berat seperti ini,” katanya.

Drama siri romantis penuh emosi sentuhan pengarah Park Hyung-Ki yang ditulis 
No Ji-Sul ini turut dilakonkan bintang terkenal termasuk Uhm Ki-Joon, Seo Hyo-Rim, Kim Hye-Ok, Sa Hyeon-Jin, Choi Jung-Hun dan Lee Jeong-Kil.

Panjangkan , sinopsis diye ? jenuh juge nak habiskan baca . 
suke hatilah nak bece ke tak nak . tengok gambar pun jadik lah .


new past